Site icon TechNave BM

OnePlus Band dilancar: Peranti boleh pakai pertama oleh OnePlus, dilengkapi AMOLED berharga ~RM138

OnePlus akhirnya telah memasuki industri peranti boleh pakai pada tahun ini dengan melancarkan gelang tangan pintar OnePlus Band di India hari ini. Peranti boleh pakai pertama OnePlus itu dilengkapi skrin AMOLED serta pelbagai fungsi kesihatan dan dijual pada harga INR2,499 (~RM138).

OnePlus Band menampilkan skrin sentuh AMOLED berukuran 1.1 inci dengan resolusi 126×294 dan tidak mempunyai sebarang butang fizikal. Daripada segi sensor, ia mempunyai pengukur degupan jantung, sensor inframerah untuk mengukur tahap oksigen dalam darah (SPO2), accelerometer tiga paksi dan giroskop.

Sebanyak 13 mod sukan terdapat dalam gelang tangan ini termasuklah larian, berbasikal, badminton, renang, yoga dan banyak lagi. Untuk bateri pula, OnePlus mengatakan bateri 100mAh mampu bertahan sehingga 14 hari. Gelang tangan itu mempunyai rating kalis air IP68 di mana ia boleh ditenggelamkan sehingga 50 meter selama 10 minit.

Nampaknya OnePlus Band ini tidak banyak bezanya dengan lambakan gelang pintar yang terdapat dalam pasaran sekarang, namun ia pasti dihargai oleh para peminat OnePlus. Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.

Selepas OnePlus Band, syarikat itu akan melancarkan jam tangan pintar pula dalam masa terdekat. Kongsi pendapat anda tentang produk baru ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: OnePlus India

Exit mobile version