Site icon TechNave BM

OnePlus bergabung dengan OPPO, kerjasama untuk hasilkan produk yang lebih baik

CEO OnePlus Pete Lau mengumumkan bahawa jenama teknologi tersebut telah bergabung dengan sebuah jenama teknologi terkenal dari China, OPPO. Beliau membuat pengumuman tersebut secara rasmi dalam forum OnePlus.

Beliau mengatakan dua jenama tersebut telah pun bekerjasama dalam pembangunan produk-produk mereka sejak tahun lepas. Bagi melancarkan operasi dan perkongsian sumber kedua-dua syarikat, mereka memutuskan untuk bergabung namun OnePlus mengatakan bahawa jenama itu masih bergerak secara sendiri dan akan melancarkan pelancaran serta acaranya sendiri.

OnePlus dan OPPO adalah jenama teknologi yang berada di bawah naungan konglomerat BBK Electronics, jadi penggabungan dua syarikat ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebelum ini, dua syarikat tersebut telah pun berkongsi kepakaran masing-masing, di mana telefon OnePlus 9 di China dilengkapi perisian ColorOS oleh OPPO dan bukannya HydrogenOS seperti tahun-tahun sebelumnya.

Apakah pendapat anda tentang penggabungan dua syarikat teknologi ternama ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: OnePlus

Exit mobile version