Site icon TechNave BM

OnePlus Buds Pro 2 dilancar, miliki ANC dan Audio Spatial 360 berharga ~RM623

OnePlus melancarkan pelbagai produk pada acara pelancaran global baru-baru ini. OnePlus telah melancarkan OnePlus Buds Pro 2 sebagai pengganti kepada Buds Pro asal yang mula diperkenalkan pada tahun 2021. OnePlus Buds Pro 2 menampilkan reka bentuk dwi-ton di mana batang fon mempunyai kemasan berkilat dan fon telinga mempunyai kemasan matte.

Fon telinga TWS adalah kalis air IP55 dan terdapat juga ciri pengesanan saluran telinga. Pada bahagian audio, OnePlus Bud Pro 2 dilengkapi dengan dwi pemacu bersaiz 11mm dan 6mm. Fon telinga ini menawarkan pembatalan hingar aktif (ANC) sehingga 48dB dan mod ketelusan untuk menyedari persekitaran tanpa perlu mengeluarkan fon telinga.

Ia juga menyokong codec audio LHDC 5.0 dan kependaman rendah 54ms untuk gaming. OnePlus Buds Pro 2 mempunyai Audio Spatial 360 darjah untuk bunyi sekeliling dan Master EQ yang ditala oleh Hans Zimmer. Master EQ dipanggil ‘Soundscape’ dan memiliki frekuensi yang lebih rendah sedikit daripada tetapan asal serta medan bunyi yang lebih terang dan luas.

OnePlus Buds Pro 2 menampilkan Bluetooth 5.2 dan boleh disambungkan ke dua peranti serentak. Hayat baterinya boleh bertahan selama 39 jam bersama bekas pengecasnya. Fon telinga ini boleh beroperasi selama 9 jam dengan ANC dimatikan dan sehingga 6 jam jika diaktifkan. Ia menyokong pengecasan berwayar dan tanpa wayar.

OnePlus Buds Pro 2 berharga Rs 11,999 (~RM623) dan menawarkan pilihan warna Obsidian Black serta Arbor Green. Untuk pengetahuan, OnePlus Buds Pro 2 bakal dilancarkan pada 14 Februari 2023 bersama-sama OnePlus 11 5G.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OnePlus Buds Pro 2 ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version