Site icon TechNave BM

OnePlus dedahkan telefon dengan rekaan belakang boleh berubah warna

Semalam, CEO OnePlus Pete Lau sendiri telah mendedahkan konsep rekaan OnePlus 8T dengan panel belakang yang boleh berubah warna. Paparan rekaan ini dilihat berinspirasikan warna laut yang mengetengahkan tona biru dan kelabu.

Menurut OnePlus, panel belakang OnePlus 8T Concept ini mempunyai filem di bawah kacanya. Filem tersebut mengandungi logam oksida yang boleh berubah warnanya melalui keadaan ion valens mengikut jumlah voltan pada telefon. Tambah OnePlus, warna yang boleh berubah ini juga boleh digunakan sebagai sistem notifikasi.

OnePlus 8T Concept memiliki sistem radar gelombang milimeter (mmWave) yang boleh memindahkan dan menerima gelombang elektromagnetik. Ini bermakna sistem radar tersebut mampu mengesan dan menjejak lokasi objek dalam pelbagai keadaan cahaya.

Selain itu, anda juga boleh menerima panggilan dengan melakukan gerak isyarat tangan sahaja melalui teknologi mmWave ini.

Apa pun, peranti ini setakat ini masih kekal sebagai konsep yang boleh dipamerkan sahaja. Namun, tidak mustahil untuk OnePlus mengeluarkan telefon dengan rekaan sebegini. Terdahulu, vivo juga dilapor sedang hasilkan perkara yang sama.

Komen pandangan anda mengenai rekaan panel belakang yang boleh berubah warna di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version