Site icon TechNave BM

OnePlus mungkin akan hasilkan telefon dengan kamera swafoto di bawah bezel

Kebanyakan telefon pintar masih lagi hadir dengan bezel atau bingkai hitam pada paparan. Namun, kebanyakannya juga sudah mula meminimumkan kehadiran bezel, contohnya telefon andalan yang memiliki bezel nipis. Terkini, OnePlus mungkin akan menghasilkan telefon dengan kamera swafoto di bawah bezel.

Menurut sumber, OnePlus dilapor mempatenkan rekaan telefon pintar dengan kedudukan kamera swafoto di bawah bezel bahagian atas. Paten ini telah ditemui oleh LetsGoDigital di World Intellectual Property Office (WIPO) dan sudah diluluskan pada 4 Februari 2021.

Dengan paten kamera swafoto di bawah bezel, paparan tidak akan terganggu dengan rekaan takuk atau skrin berlubang yang biasanya memuatkan kamera swafoto. Paten ini dilapor melibatkan kos yang lebih rendah berbanding penghasilan skrin berlubang untuk paparan.

Apa pun, kami tidak pasti jika OnePlus bakal mengaplikasi paten ini kepada mana-mana peranti seterusnya. Apakah pandangan anda mengenai solusi kamera swafoto di bawah bezel? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: LetsGoDigital

Exit mobile version