Site icon TechNave BM

OnePlus Nord 2 5G disahkan oleh OnePlus, dilengkapi cipset Dimensity 1200-AI

OnePlus hari ini telah mengesahkan telefon pintar kelas pertengahan seterusnya iaitu OnePlus Nord 2 5G. Dalam sebuah siaran media, syarikat teknologi China itu mengatakan telefon tersebut bakal dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 1200-AI yang berbeza daripada cipset Dimensity 1200 sedia ada.

OnePlus mengatakan cipset Dimensity 1200-AI adalah cipset khas untuk kegunaan OnePlus dan akan meningkatkan kualiti kecerdasan buatan (AI) daripada cipset Dimensity 1200 asal. Fungsi AI ini termasuklah AI Photo Enhancement untuk melaras gambar dengan cantik secara automatik, efek HDR, AI Colour Boost Technology, AI Resolution Boost dan Smart Ambient Display.

Ini juga adalah kali pertama peranti OnePlus menggunakan cipset daripada MediaTek. Setakat ini OnePlus masih belum berkongsi rupa telefon tersebut atau tarikh pelancarannya. Sebelum ini, rupa telefon tersebut telah pun tertiris di mana ia mempunyai rekaan mirip telefon andalan OnePlus 9.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OnePlus Nord 2 5G dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: OnePlus

Exit mobile version