Site icon TechNave BM

OnePlus Nord CE 2 bakal dilancar, mungkin miliki cipset Dimensity 900, tri-kamera 64MP & bateri 4,500mAh

Laporan terbaru mendakwa bahawa OnePlus akan mengumumkan siri OnePlus TV Y1S serba baharu pada 17 Februari di India. Selain itu, pengkhabar berita teknologi Abhishek Yadav mendedahkan bahawa acara yang sama akan mengumumkan OnePlus Nord CE 2.

Pada bulan lepas, laporan mengatakan OnePlus Nord CE 2 mungkin dilancarkan pada 11 Februari (esok) namun sehingga kini tiada kemas kini maklumat mengenai pelancaran telefon pintar tersebut. Berkemungkinan juga, syarikat tersebut akan mengesahkan tarikh pelancaran OnePlus Nord CE 2 esok melalui media sosialnya.

Pendedahan terbaru mengatakan Nord CE 2 akan hadir dengan cipset Dimensity 900 dan unit tri-kamera 64MP + 8MP + 2MP dan kamera swafoto 16MP. Ia mungkin dilengkapi dengan slot kad SD serta membawa varian 6GB + 128GB dan 8GB + 128G dengan harga bermula Rs25,000 (~RM1,394).

OnePlus Nord CE 2 akan menampilkan paparan AMOLED FHD+ 6.4 inci yang menawarkan kadar penyegaran semula 90Hz dan pengimbas cap jari di bawah skrin. Ia akan menggunakan sistem operasi Android 12 dengan OxygenOS 12.

Peranti ini mungkin menempatkan bateri dwi-sel 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 65W serta hadir dalam warna hitam dan hijau. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version