Pada hari ini, OnePlus Malaysia melancarkan telefon pintar kelas pertengahan baharu OnePlus Nord CE 4 Lite 5G. Ia akan dijual dalam pasaran tempatan pada harga bermula RM1,399 dan dilengkapi beberapa spesifikasi menarik seperti pengecasan pantas 80W, bateri besar dan skrin AMOLED dengan kadar pantas.
Ciri utama yang menonjolkan peranti ini adalah baterinya yang sangat besar iaitu 5,500mAh, di mana OnePlus mengatakan sudah cukup untuk kegunaan biasa selama dua hari. Bateri ini juga menyokong teknologi pengecasan pantas 80W SUPERVOOC yang boleh mengecas penuh daripada 1% hingga 100% dalam masa 52 minit sahaja.
OnePlus mengatakan bateri ini masih boleh mengekalkan kapasiti yang optimal, walaupun selepas ia dicas sebanyak 1,600 kali. Ia turut menyokong pengecasan berbalik 5W bagi mengecas peranti lain.
Di hadapan, ia mempunyai skrin AMOLED berukuran 6.67 inci dengan resolusi Full HD+, kadar segar semula 120Hz untuk animasi lancar serta kecerahan puncak 2,100 nits bagi memudahkan penggunaan bawah cahaya matahari terik. Ia juga mempunyai fungsi Aqua Touch yang boleh membaca sentuhan anda walaupun dengan jari yang basah akibat air atau peluh.
Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 695 5G, RAM LPDDR4x 8GB dan storan dalaman UFS2.2 256GB. Storannya boleh dibesarkan sehingga 2TB dengan kad memori microSD.
Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Sony LYTIA 600 dan sensor kedalaman 2MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 16MP. Kamera utamanya mempunyai keboleh in-sensor zoom 2x bagi mengekalkan butiran gambar walaupun dalam mod zum.
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OnePlus Nord CE 4 Lite 5G:
- Skrin AMOLED 6.67 inci, resolusi 1080×2400, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 2,100 nits, gamut warna sRGB 100%, nisbah skrin-ke-badan 92.2%, pengimbas cap jari bawah skrin
- Cipset Qualcomm Snapdragon 695 5G
- RAM LPDDR4X 8GB
- Storan dalaman UFS 2.2 256GB, boleh dibesarkan dengan microSD sehingga 2TB
- Kamera utama 50MP + sensor kedalaman 2MP
- Kamera swafoto 16MP
- Bateri 5,500mAh
- Pengecasan pantas 80W SUPERVOOC, pengecas disertakan dalam kotak
- Port USB-C 2.0, bicu audio 3.5mm
- Pembesar suara stereo, volume boleh cecah 300%
- Sistem operasi Android 14 dengan OxygenOS 14
- Pilihan warna Super Silver dan Mega Blue
- Harga: RM1,399
OnePlus Nord CE 4 Lite 5G boleh didapati di laman web OnePlus Malaysia, Lazada atau Shopee. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

