Site icon TechNave BM

OnePlus Nord CE4 akan dilancar pada 1 April 2024, menawarkan cas pantas 100W

OnePlus bakal melancarkan telefon pintar kelas pertengahan seterusnya, OnePlus Nord CE4, di India pada hari Isnin, 1 April 2024 jam 6:30 petang (9:00 malam waktu Malaysia). Satu ciri menarik pada telefon ini adalah fungsi pengecasan pantas dengan kadar yang sangat tinggi iaitu 100W.

Ini bakal menjadikannya telefon dengan kadar pengecasan terpantas pada waktu ini untuk siri OnePlus Nord, serta antara telefon kelas pertengahan pertama dalam 2024 yang dilengkapi kadar pengecasan setinggi 100W. Ia juga sama seperti OnePlus 12R yang menawarkan kadar pengecasan pantas 100W.

Spesifikasi lain untuk Nord CE4 termasuklah skrin AMOLED 6.7 inci FullHD+ 120Hz, cipset Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3, RAM 8GB serta storan dalaman 256GB.

Spesifikasi kameranya masih belum diketahui, namun ia mungkin akan dilengkapi kamera utama 50MP dengan sensor Sony Lytia LYT-600, kamera ultra-lebar 8MP dengan sensor Sony IMX355 dan kamera swafoto 16MP.

Telefon ini akan ditawarkan dalam pilihan warna Celadon Marble dan Dark Chrome. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version