OnePlus telah mengesahkan secara rasmi siri telefon pintar baharu yang dikenali sebagai Turbo, selepas khabar angin mengenainya mula tersebar sejak Oktober. Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden OnePlus China, Li Jie, bersempena ulang tahun ke-12 syarikat itu.
Siri Turbo akan membawa prestasi andalan dengan fokus kepada jangka hayat bateri terbaik dalam kelasnya serta pengalaman gaming yang lebih imersif. Li turut mendedahkan bahawa OnePlus dijangka mencatat pertumbuhan jualan tertinggi di China menjelang akhir 2025 dengan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut maklumat tertiris, peranti pertama dalam siri OnePlus Turbo dijangka hadir dengan paparan OLED 6.7 inci beresolusi 1.5K dan kadar segar semula 165Hz. Telefon ini dikatakan akan dikuasakan oleh cipset Snapdragon 8 Gen 5 serta dilengkapi bateri besar 8,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W.
Daripada segi kamera, ia dijangka menampilkan sensor utama 50MP dan kamera ultra-lebar 8MP, menjadikannya peranti berprestasi tinggi yang menyasarkan pengguna dan peminat permainan mudah alih.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo

