Sejak lima tahun lalu, siri telefon OnePlus sering dikaitkan dengan teknologi fotografi Hasselblad iaitu sebuah jenama kamera terkemuka dari Jerman. Kini, CEO OnePlus Pete Lau mengumumkan bahawa OnePlus telah menamatkan kerjasama dengan Hasselblad dan kini akan membangunkan enjin pengimejan mereka sendiri, digelar OnePlus DetailMax Engine.
Perkara tersebut diumumkan dalam forum komuniti OnePlus. Enjin baharu ini akan memfokuskan pada pengimejan berkomputer (computational imaging) bagi menghasilkan butiran yang tinggi dalam gambar, walaupun selepas anda zum dengan lebih dekat.
OnePlus sedang membangunkan prototaip untuk enjin pengimejan ini dan mereka yakin bahawa ia akan membawa standard yang lebih tinggi dalam fotografi telefon pintar. Ia mungkin akan diperkenalkan dalam telefon OnePlus 14.
Sebelum ini, setiap telefon andalan (flagship) OnePlus mempunyai teknologi fotografi Hasselblad, daripada siri OnePlus 9 hinggalah OnePlus 13. Teknologi Hasselblad membenarkan pengguna OnePlus mengambil gambar dengan talaan warna yang mirip kamera-kamera oleh jenama Jerman itu.
Jika anda masih berminat dengan teknologi fotografi Hasselblad dalam telefon pintar, OPPO telah pun memanjangkan kerjasamanya dengan Hasselblad jadi kita boleh jangkakan teknologi ini untuk berada dalam telefon andalan OPPO yang akan datang.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon OnePlus dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: OnePlus

