Site icon TechNave BM

OnePlus Watch edisi Cyberpunk 2077 dilancar, tampilkan pengecas berbentuk tangan Jonny Silverhand

OnePlus telah pun melancarkan siri telefon pintar andalan terbaru OnePlus 9 beberapa bulan lalu serta jam tangan pintar pertama oleh jenama tersebut, OnePlus Watch. Kini, OnePlus telah melancarkan edisi khas untuk jam tangan itu iaitu OnePlus Watch Cyberpunk 2077 Limited Edition yang menampilkan hiasan bertemakan game popular Cyberpunk 2077.

Jam tersebut akan dipakejkan dalam kotak khas yang dihiasi logo OnePlus serta Cyberpunk 2077 dalam warna hitam dan kuning. Daripada segi spesifikasi, ia adalah sama sahaja dengan OnePlus Watch standard seperti skrin 1.38 inci, rating kalis air IP68, 110 mod sukan, bateri selama dua minggu serta pelbagai sensor kesihatan.

Satu ciri yang menarik buat produk ini adalah pengecasnya, iaitu sebuah pemegang jam yang mempunyai bentuk tangan karakter utama game tersebut, Jonny Silverhand.

Daripada segi luaran, OnePlus Watch ini mempunyai jaluran kuning pada muka jam serta talinya. Sewaktu menggunakan jam tersebut, sistem antaramuka (user interface) menampilkan unsur-unsur Cyberpunk 2077 termasuklah animasi dan muka jam khas.

Ini adalah kali kedua OnePlus menghasilkan produk kerjasama dengan Cyberpunk 2077, iaitu selepas telefon pintar OnePlus 8T yang turut mempunyai edisi khas bertemakan game tersebut pada tahun lepas.

OnePlus Watch Cyberpunk 2077 Limited Edition dijual di China pada harga CNY1,299 (~RM840) dan setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk edisi khas ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version