Pencipta ChatGPT, OpenAI kini sedang mempertimbangkan untuk membangunkan penyemak imbas web yang akan digabungkan dengan chatbot mereka. Selain itu, OpenAI juga berbincang dengan syarikat seperti Conde Nast, Redfin, Eventbrite dan Priceline untuk memperkasakan ciri carian menurut laporan terbaru.
Langkah ini berpotensi untuk bersaing dengan Google yang kini mendominasi pasaran penyemak imbas dan carian. OpenAI telah pun memulakan usaha dalam pasaran carian dengan produk mereka yang dikenali sebagai SearchGPT.
Sementara itu, Google juga telah memperkuat teknologi AI mereka selepas pelancaran ChatGPT pada 2022 dengan memperkenalkan chatbot generatif Gemini. Namun, penguasaan Google dalam pasaran penyemak imbas kini sedang diuji terutama selepas Jabatan Kehakiman AS mencadangkan agar Google menjual penyemak imbas Chrome untuk mengurangkan monopoli mereka.
OpenAI turut dilaporkan sedang berbincang untuk mengintegrasikan ciri AI mereka pada peranti Samsung yang juga merupakan rakan kongsi utama Google. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters

