OpenAI kini memperkenalkan ciri baharu dikenali sebagai ChatGPT Finance yang membolehkan pengguna menyambungkan akaun bank dan kewangan mereka terus ke ChatGPT. Ciri tersebut dilancarkan untuk pelanggan ChatGPT Pro di Amerika Syarikat menerusi kerjasama dengan Plaid iaitu platform sambungan kewangan yang menyokong lebih 12,000 institusi kewangan.
Melalui integrasi ini, pengguna boleh melihat papan pemuka kewangan lengkap termasuk prestasi portfolio, perbelanjaan, langganan aktif serta pembayaran akan datang terus dalam ChatGPT. ChatGPT juga boleh menjawab soalan berkaitan kewangan dan simpanan berdasarkan data sebenar pengguna yang menjadikan pengalaman pengurusan kewangan lebih peribadi dan kontekstual.
Menurut OpenAI, lebih 200 juta pengguna sudah menggunakan ChatGPT untuk bertanyakan soalan berkaitan kewangan setiap bulan dan ciri baharu ini direka untuk memberikan jawapan yang lebih tepat berdasarkan situasi kewangan sebenar pengguna. Pengguna juga diberikan kawalan penuh terhadap data mereka termasuk mengurus sambungan akaun, membuang akses institusi kewangan serta memadam sejarah kewangan yang disimpan chatbot tersebut.
Buat masa ini, fungsi ChatGPT Finance hanya tersedia untuk pengguna ChatGPT Pro di Amerika Syarikat menerusi versi web dan aplikasi iOS. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ChatGPT

