OpenAI bakal menambah format iklan baharu yang dipanggil iklan visual pada platform ChatGPT bermula akhir bulan ini. Ia merupakan pengenalan iklan teks ringkas untuk pengguna akaun percuma dan pelan Go yang dimulakan pada Februari lalu. Format baharu pula menampilkan imej lebih besar, sama ada dalam bentuk beberapa imej kenit atau imej tunggal mengikut lebar skrin.
Pelancarannya akan dimulakan dengan tempoh ujian di mana iklan visual hanya akan dipaparkan apabila pengguna menjanakan imej menggunakan ChatGPT. Mereka mengesahkan bahawa iklan visual ini akan diletakkan secara berasingan daripada imej yang dijana oleh AI dan dilabel secara jelas sebagai iklan.
OpenAI turut menegaskan bahawa kewujudan iklan ini tidak akan mempengaruhi jawapan atau maklum balas yang diberikan oleh AI. Terdapat penetapkan kawalan khas bagi menghalang iklan daripada dipaparkan dalam perbualan yang melibatkan konteks sensitif, emosi berlebihan atau situasi tidak sesuai.
Pemantauan berterusan dijalankan menggunakan gabungan sistem automatik dan pengawasan manusia bagi memastikan sistem kawalan ini berfungsi dengan berkesan. OpenAI mengintegrasikan penyelesaian iklan dengan rangkaian pengiklanan tradisional serta menyediakan alatan baharu bagi membantu pengiklan mengukur impak kempen mereka.
Penambahan format ini diteruskan tatkala OpenAI merekodkan 1.2 bilion pengguna mingguan dan menyasarkan paparan iklan terutamanya kepada pengguna pelan percuma dan Go. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: OpenAI

