Site icon TechNave BM

Opensignal: Malaysia mempunyai purata kelajuan muat turun 5G ke-4 tertinggi di dunia

Opensignal iaitu laman web yang mengkhusus dalam pengukuran dan analisis prestasi rangkaian mudah alih baru-baru ini memuji Malaysia sebagai peneraju global dalam sambungan 5G kerana rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai.

Ini menurut kajian Penanda Aras Pengalaman 5G Global terbaru yang dikeluarkan pada bulan Jun yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik dalam pelbagai kategori. Opensignal mendapati Malaysia mempunyai purata kelajuan muat turun 5G setinggi 322.7 Mbps meletakkannya di tempat ke-4 dalam senarai.

Dalam laporan penanda aras, Malaysia berada di belakang Korea Selatan (432.5 Mbps), Singapura (376.8 Mbps) dan Brazil (346.4 Mbps). Tambahan, Malaysia adalah satu daripada tujuh negara di seluruh dunia yang mempunyai purata kelajuan 5G melebihi 300 Mbps.

Rangkaian 5G Malaysia juga didapati 14.4x lebih pantas daripada 4G yang meletakkan Malaysia di belakang India (19.2x) dalam kategori tersebut. Rangkaian 5G Malaysia juga mendapat markah yang baik dalam purata kelajuan muat naik 5G dengan menduduki tempat ketiga dengan kelajuan 41.5 Mbps.

Hanya Korea Selatan dan Guatemala mempunyai purata kelajuan muat naik yang lebih tinggi dengan kedua-duanya berkelajuan 42 Mbps. Opensignal juga menegaskan bahawa rangkaian 5G Malaysia memberikan kelajuan dan kebolehpercayaan yang sangat baik mengatasi prestasi banyak negara perindustrian.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Opensignal

Exit mobile version