Site icon TechNave BM

OpenSignal: U Mobile juara dalam kelajuan keseluruhan terpantas di Malaysia tahun ini

Pembekal perkhidmatan telekomunikasi tempatan, U Mobile adalah terpantas secara keseluruhan daripada segi kelajuan muat turun dan muat naik merentasi enam rangkaian utama di seluruh negara menurut laporan analisis mudah alih OpenSignal.

Dalam Laporan Pengalaman Rangkaian Mudah Alih terbaharu, U Mobile menduduki tempat pertama dengan skor 39.4Mbps yang mempunyai peningkatan sebanyak 21.2Mbps sejak tahun lepas di mana mereka berada di tempat terakhir.

U Mobile juga memenangi kategori pengalaman kelajuan muat naik secara purata dengan skor 9.9Mbps meningkat sebanyak 2Mbps (25.8%) daripada laporan tahun lepas. Celcom menduduki tempat kelima tahun ini menewaskan Yes yang terpaksa berpuas hati dengan keputusan terakhir.

Pengalaman kelajuan muat turun yang diukur dalam Mbps mewakili kelajuan harian biasa yang dialami pengguna merentasi rangkaian data mudah alih pengendali. Bagaimanapun, Unifi memenangi anugerah kualiti konsisten dengan markah 67.2% iaitu 4.8% perbezaan markah Digi di tempat kedua (62.4%) diikuti Maxis, U Mobile, Yes dan Celcom.

Kualiti yang konsisten ialah ukuran sejauh mana rangkaian mencukupi dalam menyokong keperluan aplikasi mudah alih biasa pada tahap yang “cukup baik” untuk pengguna mengekalkan atau menyelesaikan pelbagai tugasan biasa pada peranti mereka.

Bagi ketersediaan keseluruhan, Yes adalah juara bertahan selepas memenangi anugerah itu buat kali keempat berturut-turut dengan skor hampir sempurna sebanyak 99 peratus. Anugerah untuk kategori lain termasuk pengalaman video, pengalaman video langsung, pengalaman aplikasi suara dan pengalaman 5G.

Malangnya, Maxis yang merupakan pencabar telah terlepas daripada memenangi sebarang kategori. Opensignal berkata pengumpulan data untuk laporan terkini berlangsung dalam tempoh 90 hari antara 1 Jun dan 28 Ogos tahun ini untuk melihat cara mereka menyusun aspek pengalaman mudah alih yang berbeza.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Open Signal

Exit mobile version