Site icon TechNave BM

OPPO A17 dilancar di Malaysia: Skrin 6.56″, bateri 5,000mAh, kamera 50MP bermula RM599

Pada hari ini, OPPO Malaysia telah melancarkan telefon pintar kelas permulaan terbaru iaitu OPPO A17. Telefon ini dilengkapi bateri besar, skrin luas dan kamera 50MP yang sesuai untuk semua kegunaan harian.

Telefon ini mempunyai rekaan ringkas dengan permukaan belakang yang mirip kulit dan pilihan warna biru Lake Blue atau hitam Midninght Black. Ia mempunyai bahagian sisi yang rata dengan ketebalan 8.29mm dan berat 189 gram.

Di hadapan, ia mempunyai skrin LCD berukuran 6.56 inci dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula 60Hz.

OPPO A17 mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh yang boleh bertahan sehingga 20 jam dan turut menawarkan fungsi penjimatan kuasa seperti Super Power Saving Mode dan Super Nighttime Standby.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Helio G35, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB. RAM telefon ini boleh dibesarkan sebanyak 4GB lagi dengan teknologi RAM Expansion.

Untuk fotografi, OPPO A17 mempunyai kamera utama 50MP dan sensor kedalaman 2MP manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 5MP dalam takuk berbentuk titisan air. Ia menawarkan pelbagai fungsi tambahan seperti 360° Fill Light, Portrait Retouching dan HDR.

OPPO A17 akan dijual di Malaysia pada harga RM599 dan boleh dibeli di kedai-kedai rasmi OPPO, pengedar sah, Shopee atau Lazada. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version