OPPO Malaysia mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar mampu milik terbaru dalam masa terdekat iaitu OPPO A5 Pro. Syarikat teknologi itu telah pun membuka sebuah laman khas dalam laman webnya untuk OPPO A5 Pro dan ia menunjukkan rekaan telefon ini serta spesifikasi ringkas.
OPPO A5 Pro akan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hijau dan merah jambu. Ia bakal mempunyai mutu buatan yang tahan lasak dengan gred tentera, serta rating kalis air dan debu IP66, IP68 dan IP69. Ini bermaksud ia boleh ditenggelami air sehingga paras 1.5 meter selama 30 minit, disembur jet air dan akan tahan suhu air sehingga 80℃.
Telefon ini telah pun dilancar di beberapa negara lain sebelum ini. Jika ia sama dengan model yang dilancar untuk pasaran Malaysia, ia akan dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 6s 4G Gen 1, RAM 8GB, storan dalaman 128GB, skrin 6.7 inci, resolusi 720p, kadar segar semula 90Hz dan kaca Corning Gorilla Glass 7i.
Baterinya pula berkapasiti 5,800mAh dengan pengecasan pantas 45W. Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dengan lensa monokrom 2MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 8MP yang terdapat dalam lubang punch-hole.
Sistem operasinya menggunakan ColorOS 15 berdasarkan Android 15 dan menawarkan beberapa fungsi suntingan gambar berdasarkan AI seperti AI Eraser 2.0, AI Reflection Remover, AI Unblur dan AI Suite.
OPPO Malaysia masih belum memberi tarikh pelancaran rasmi untuk telefon ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

