Site icon TechNave BM

OPPO A6 Pro 5G rasmi Malaysia dengan skrin AMOLED 120Hz, bateri 6,500mAh dan IP69 berharga RM1,199

OPPO Malaysia hari ini melancarkan telefon pintar terbaharu iaitu OPPO A6 Pro 5G yang menekankan kuasa bateri tahan lama, pengecasan pantas dan ketahanan binaan. Ia hadir dengan bateri berkapasiti 6,500mAh yang direka untuk mengekalkan lebih 80 peratus prestasi walaupun selepas lebih 1,800 kitaran pengecasan bersamaan penggunaan lebih lima tahun.

Ia turut menyokong teknologi 80W SUPERVOOC yang membolehkan peranti dicas penuh dalam sekitar 50 minit. A6 Pro 5G dilengkapi perlindungan IP69 kalis air dan habuk selain melepasi pensijilan tahan gegaran tahap ketenteraan. Reka bentuk unibody setebal 8 mm dengan berat hanya 185 gram ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Pink Coral dan Blue Stellar.

Telefon ini juga menampilkan paparan AMOLED 6.57 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan sehingga 1,400 nits. Selain itu, OPPO A6 Pro 5G menerima sokongan Trinity Engine, Luminous Rendering Engine dan AI LinkBoost 3.0 untuk pengalaman permainan dan sambungan rangkaian lebih stabil.

Dalam masa yang sama, OPPO Malaysia turut mengumumkan kerjasama dengan MediaTek dan pasukan eSukan tempatan JP Niners Empire bagi memperkukuh ekosistem permainan mudah alih di negara ini. Di Malaysia, OPPO A6 Pro 5G dengan konfigurasi 16GB RAM (8+8) dan 256GB storan dijual pada harga RM1,199.

Jualan promosi berlangsung di IOI City Mall Putrajaya sehingga 28 September manakala tempahan dibuka antara 24 hingga 26 September dan berpeluang menerima hadiah eksklusif bernilai sehingga RM997, tertakluk kepada terma dan stok. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version