Site icon TechNave BM

OPPO Air Glass 2 diumum, boleh jawab panggilan telefon, terjemahan dan navigasi

OPPO hari ini mengadakan acara pertunjukkan teknologi tahunan iaitu OPPO INNO DAY 2022 yang distrim secara langsung. Bertemakan ‘Empowering a Better Future’, acara itu mempamerkan fokus OPPO kepada empat Inisiatif Pintar. Empat inisiatif pintar tersebut ialah hiburan pintar, produktiviti pintar, kesihatan pintar dan pembelajaran pintar.

Selain OPPO OHealth H1 dan cip MariSilicon Y, OPPO juga memperkenalkan OPPO Air Glass 2 pada acara tersebut. OPPO Air Glass 2 ialah produk realiti maya (AR) dengan berat 38 gram. Cermin mata pintar ini menyokong ciri pembetulan imej, pilihan peribadi dan hampir tidak dapat dibezakan daripada cermin mata biasa.

Air Glass 2 membolehkan pengguna membuat panggilan telefon, melakukan terjemahan langsung dan juga boleh digunakan dengan perkhidmatan navigasi berasaskan lokasi. Ia juga boleh digunakan oleh mereka yang mengalami masalah pendengaran untuk menukar bunyi kepada teks.

Kanta yang digunakan nipis dan ringan dilengkapi teknologi pandu gelombang pembezaan yang mencapai kecerahan 1,400 nits. Ia juga menggunakan paparan LED mikro berasaskan silikon dengan satu piksel hanya 4 mikron bersama kecerahan maksimum 3 juta nit.

Air Glass 2 dilengkapi dengan cipset untuk peranti boleh pakai Snapdragon 4100 dan hayat bateri boleh mencapai 10.5 jam. Peranti ini juga menyokong peringatan cuaca, jadual, inskripsi pertuturan, terjemahan langsung dan navigasi. Adakah anda berminat dengan teknologi yang OPPO bawakan ini?

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version