Site icon TechNave BM

OPPO daftarkan paten untuk kamera yang boleh dicabut daripada badan telefon

OPPO bukanlah syarikat yang asing dengan rekaan teknologi baru dan berani, seperti yang ditunjukkan dalam pelancaran OPPO X 2021 pada bulan lepas. Kini sebuah paten baru menunjukkan bahawa syarikat China itu mungkin sedang membangunkan telefon pintar dengan modul kamera yang boleh dipisahkan daripada badan telefon.

Dalam sebuah paten yang didaftarkan dengan Pejabat Hak Intelek Sedunia (WIPO), sebuah telefon akan mempunyai bonggol kamera di belakang yang boleh dicabut serta dihubungkan di port USB-C pada bahagian bawah telefon untuk mengambil swafoto. Selain daripada itu, modul tersebut juga mempunyai penghubung USB-C yang boleh dipusingkan 90° untuk memberi lebih banyak sudut penggambaran kepada pengguna.

Modul kamera tersebut yang terdiri daripada dua kamera boleh menyokong hubungan Wi-Fi, Bluetooth dan NFC untuk kawalan jauh serta dilengkapi baterinya sendiri. Masih tidak jelas jika modul kamera tersebut boleh ditukar dengan varian modul kamera lain, namun ia adalah satu idea yang menarik untuk difikirkan.

Perlu diingat bahawa pendaftaran paten sahaja tidak bermakna OPPO akan menghasilkannya. Kongsi pendapat anda tentang rekaan telefon unik ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 91mobiles

Exit mobile version