Site icon TechNave BM

OPPO Find N5 dilancar di Malaysia: Telefon lipat paling nipis di dunia berharga RM7,999

OPPO Malaysia hari ini memperkenalkan telefon pintar lipat yang sangat unik iaitu OPPO Find N5. Telefon ini menampilkan rekaan yang sangat nipis, malah menjadikannya telefon lipat yang ternipis di dunia setakat ini.

Telefon ini mempunyai ketebalan 4.21mm sahaja apabila skrinnya dibuka dan 8.93mm apabila skrinnya dilipat, menjadikannya tidak banyak berbeza dengan telefon pintar konvensional. Apabila dibuka, ketebalan 4.21mm itu menjadikannya telefon lipat yang ternipis setakat ini.

Walaupun dengan mekanisme lipat, telefon ini masih mempunyai rating kalis air IPX9, menjadikannya telefon lipat pertama yang mendapat rating tersebut. Telefon ini dibina dengan seni bina Armour Shiled yang dibina dengan siri aloi aluminium 7000, meningkatkan kekuatannya sebanyak 30% dan ketahanan impak jatuh sebanyak 20% berbanding generasi sebelumnya.

Di belakang, ia mempunyai bonggol kamera yang dilengkapi teknologi Hasselblad Master Camera System, serupa seperti telefon flagship OPPO Find X8 Pro. Ia akan ditawarkan dalam pilihan warna hitam Cosmic Black dan putih Misty White.

Skrin utamanya berukuran 8.12 inci apabila dibuka sepenuhnya, manakala di hadapan pula terdapat skrin 6.62 inci dengan nisbah aspek 20.7:9 yang tidak banyak berbeza dengan nisbah aspek telefon biasa. Garis lipatan pada skrin utamanya pula tidak terlalu mengganggu sewaktu anda menontonnya.

Skrin ini mempunyai ketumpatan piksel 400PPI, kadar segar semula 1-120Hz, kecerahan puncak 2,000 nits dan pemalapan PWM 2,160Hz untuk mengurangkan lesu pada mata anda.

Walaupun dengan rekaan nipis, telefon ini masih mempunyai bateri 5,600mAh yang dibina dengan teknologi silicon-carbon. Bateri ini menyokong kadar pengecasan pantas 80W SUPERVOOC dan pengecasan wayarles 50W AIRVOOC.

Sebagai sebuah peranti flagship, ia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite namun dengan varian tujuh teras CPU sahaja, berbeza dengan flagship lain yang mempunyai lapan teras.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO Find N5:

OPPO Find N5 akan mula dijual dalam pasaran Malaysia pada 28 Februari 2025. Pra-tempahan boleh dibuat bermula sekarang di kedai-kedai OPPO Brand Stores, My OPPO Space, pengedar-pengedar sah OPPO, Lazada, Shopee, TikTok Shop dan laman web OPPO, sebelum 27 Februari 2025. Setiap pra-tempahan akan disertakan dengan hadiah bernilai RM2,584.

Layari laman web OPPO untuk maklumat lanjut mengenai peranti ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version