OPPO dijangka melancarkan telefon boleh lipat seterusnya yang dipercayai dinamakan OPPO Find N6, selepas peranti itu dilaporkan memasuki fasa ujian di India. Langkah ini hadir beberapa bulan selepas pelancaran Find N5 di China yang ketika itu dinobatkan sebagai telefon boleh lipat paling nipis di dunia dengan ketebalan 8.93mm apabila dilipat. Kini, kebocoran maklumat mendakwa Find N6 bakal hadir dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan berbanding model biasa.
Penganalis Debayan Roy (@Gadgetsdata) memaklumkan bahawa peranti tersebut kini sedang diuji di India, namun pelancaran di negara itu masih belum disahkan. Malah, beliau juga mengatakan Find N6 berkemungkinan tidak akan dipasarkan di India menggunakan jenama OnePlus.
Spesifikasi awal yang tertiris mencadangkan Find N6 mungkin menawarkan paparan luar 6.6 inci dan paparan dalaman boleh lipat 8.1 inci, bersama bateri melebihi 6,000mAh walaupun tubuhnya lebih nipis. Sistem kameranya pula dijangka menampilkan sensor utama Sony LYT 808 50MP, lensa ultra lebar, periskop nipis dengan zum optikal 3x serta sensor multispektral.
Daripada segi perisian, ia dijangka hadir dengan Android 16 berasaskan ColorOS 16, bersama ciri tambahan seperti butang Plus, pengimbas cap jari sisi, pengecasan tanpa wayar, ketahanan air tahap penuh dan mungkin binaan titanium.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: X

