Site icon TechNave BM

OPPO Find X5 Pro 5G mungkin akan dilancar di Malaysia pada 18 Mei 2022

OPPO telah pun memperkenalkan telefon pintar andalan terbaharu untuk tahun ini, OPPO Find X5 Pro 5G, pada bulan Februari lalu di China. Kini, tarikh pelancarannya di Malaysia pula mungkin sudah diumumkan iaitu pada hari Rabu, 18 Mei 2022.

Ini adalah berdasarkan daripada sebuah kiriman di laman Facebook OPPO Malaysia yang mengacah tarikh tersebut untuk pengumuman OPPO Find X5 Pro. Mereka yang berminat juga boleh mendaftarkan diri untuk maklumat lanjut tentang pembelian telefon itu.

Selain itu, OPPO Malaysia juga telah berkongsi beberapa gambar yang diambil menggunakan kamera OPPO Find X5 Pro. Gambar-gambar tersebut diambil dalam suasana malap bagi menunjukkan kebolehan telefon itu untuk mengambil gambar yang jelas dalam situasi kurang cahaya.

OPPO Malaysia turut menganjurkan kempen Save The Night di mana mereka telah bekerjasama dengan beberapa jenama terkenal seperti Shell, Starbucks dan GSC Cinema untuk menunjukkan penjenamaan mereka dalam pelbagai suasana cahaya.

Siri telefon OPPO Find X5 Pro dilengkapi unit pemprosesan neural (NPU) MariSilicon X yang dikhaskan untuk menghasilkan gambar suasana malap dengan kualiti yang jelas dan kurang noise. Telefon ini turut dilengkapi kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto 13MP, manakala spesifikasinya terdiri daripada cipset Snapdragon 8 Gen 1, skrin AMOLED 120Hz, bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 80W.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Find X5 Pro dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version