Site icon TechNave BM

OPPO janjikan kemas kini utama selama 4 tahun untuk telefon pintar terpilih

OPPO telah mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan kemas kini utama (OS updates) selama empat tahun untuk telefon-telefon premium terpilih yang bakal dilancar pada 2023.

Ini bermaksud telefon-telefon tersebut bakal menerima Android 14, 15, 16 dan 17 sehingga tahun 2027. Untuk kemas kini keselamatan pula, telefon-telefon yang sama akan menerimanya selama lima tahun selepas tarikh pelancaran.

Sungguh pun begitu, OPPO tidak menyatakan nama telefon-telefon ini secara spesifik. Besar kemungkinan, ia hanya dikhaskan untuk telefon premium seperti siri OPPO Find X6 atau Find N3 kelak.

Jaminan kemas kini ini adalah sama seperti yang ditawarkan oleh OnePlus dan Samsung. Sungguh pun begitu, masih tidak pasti jika telefon kelas pertengahan seperti siri OPPO A akan menerima jaminan kemas kini yang sama.

Buat masa ini, sistem operasi ColorOS 13 berdasarkan Android 13 sudah pun ditawarkan kepada 33 peranti OPPO, sejak pengenalannya pada Ogos 2022. Ini adalah lebih pantas daripada pemberian ColorOS 12 pada tahun 2021.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon OPPO dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version