Site icon TechNave BM

OPPO Pad Air dilancar di Malaysia: SD 680, skrin 2K HD 10.36″ dan bateri 7,100mAh bermula RM1,099

OPPO Malaysia hari ini telah melancarkan tablet pertamanya dalam pasaran tempatan iaitu OPPO Pad Air. Tablet tersebut menampilkan paparan LCD HD 2K 10.36 inci, berat tablet hanya 440g dengan reka bentuk penyambungan logam yang unik.

Untuk butiran spesifikasinya, Pad Air dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 680 yang dipasangkan dengan RAM 4GB. Terdapat juga bateri 7100mAh yang didakwa OPPO boleh bertahan sepanjang hari termasuk 12 jam menonton video dan sehingga 15 jam persidangan video.

Kamera swafotonya menggunakan sensor 5MP dan pada bahagian belakangnya terdapat kamera utama 8MP. Selain itu, Pad Air juga menampilkan pembesar suara empat stereo dengan sokongan untuk Doly Atmos. Daripada segi sistem operasi, tablet ini beroperasi menggunakan ColorOS for Pad yang baru dinaik taraf berdasarkan Android 12.

Ia mempunyai fungsi sambungan berbilang skrin seperti seret dan pindahkan fail serta perkongsian papan keratan. Pad Air ditawarkan dalam dua pilihan storan di Malaysia iaitu 64GB dan 128GB. Namun, tablet ini menyokong storan yang boleh dikembangkan melalui slot kad mikroSD.

Ia didatangkan dalam warna Fog Grey dan berharga RM1,099 untuk model 4/64GB dan RM1,299 untuk varian 4/128GB. Pra-pesanan untuk Pad Air bermula dari hari ini hingga 29 Julai 2022 dan eksklusif dalam talian. Varian 4/64GB hanya tersedia untuk pra-pesanan di OPPO Official Online Store dan Shopee manakala varian 4/128GB di OPPO Official Online Store, Shopee serta Lazada.

Adakah anda berminat untuk memilikinya? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version