Site icon TechNave BM

OPPO Pad dilancar: SD 870, skrin 11″ 120Hz, storan 256GB dan bateri 8,300mAh bermula ~RM1,530

Di samping tiga telefon pintar siri Find X5 baharunya, OPPO telah melancarkan tablet Android pertamanya iaitu OPPO Pad. Ia adalah tablet dengan skrin berukuran 11 inci yang dikuasakan oleh cipset Snapdragon 870 dan hadir bersama stilus OPPO Pencil untuk digunakan bersamanya.

Tablet ini membawa binaan premium dengan bingkai logam dan kaca berfros di belakang. Ia setebal 6.99mm dan berat 507 gram. OPPO Pad menampilkan LCD LTPS 11 inci dengan resolusi 2560 × 1600 px dan kadar segar semula 120Hz. Skrinnya menyokong kandungan HDR10 dan mempunyai bezel simetri dengan kamera swafoto 8MP.

Bahagian belakangnya membawakan kemasan dwi-warna yang agak kreatif dengan tulisan OPPO dalam huruf besar berhampiran kamera belakang 13MP. OPPO Pad juga dilengkapi empat pembesar suara dengan sokongan pensijilan audio Dolby Atmos dan Hi-Res.

Ia dilengkapi Qualcomm Snapdragon 870, 6/8GB RAM, storan 128/256GB, bateri 8,300 mAh dengan pengecasan pantas 33W dan antara muka ColorOS for Pad yang berasaskan ColorOS 12 berdasarkan Android 11. Stilus OPPO Pencil menyokong 4096 tahap kepekaan tekanan dan boleh melekat pada tablet melalui magnet (automatik cas) dan bateri tahan sehingga 13 jam.

OPPO juga menjual sarung papan kekunci pada harga CNY 399 (~RM265) manakala stilus Oppo Pencil berharga CNY 499 (~RM330). OPPO Pad hadir dalam warna hitam dan ungu serta Edisi Artis yang berwarna perak. Varian 6+128GB akan dijual pada harga CNY 2,299 (~RM1,530) manakala varian 8+256GB akan dijual pada harga CNY 2,999 (~RM1,990).

Jualan bermula pada 3 Mac di China dan ketersediaannya untuk pasaran antarabangsa masih belum diumumkan lagi. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: GSMArena

Exit mobile version