OPPO secara rasmi melancarkan tablet kompak OPPO Pad Mini Matte Display Edition untuk pasaran Malaysia. Peranti ditawarkan pada harga RM3,699 dengan spesifikasi peringkat mercu dalam reka bentuk bersaiz kecil. Tablet dilengkapi skrin AMOLED Eye-Comfort Matte berukuran 8.8 inci dengan resolusi 2.5K (2,520 x 1,680 piksel) dan kadar segar semula adaptif sehingga 144Hz.
Panelnya pula menyokong kecerahan puncak sehingga 1,600 nits, kepadatan piksel 344 PPI serta teknologi anti-pantulan untuk mengurangkan silau cahaya di luar bangunan. Daripada segi prestasi, tablet dikuasakan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 5. Untuk pasaran tempatan, hanya satu konfigurasi memori ditawarkan iaitu RAM LPDDR5X 8GB dan storan dalaman 256GB UFS 4.1.
Ia beroperasi menggunakan sistem operasi ColorOS 16.0. Baterinya berkapasiti 8,000mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 67W SUPERVOOC. Bagi keupayaan fotografi dan panggilan video, ia disertakan dengan kamera belakang 13MP dan kamera hadapan 8MP.
OPPO Pad Mini Matte Display Edition menampilkan ketebalan 5.46mm dengan berat 282 gram serta hadir dalam satu pilihan warna iaitu Lavender Purple. Menurut syarikat, tablet ini turut menyokong pemindahan fail dan sambungan merentas ekosistem Android dan iOS. Tempahan untuk OPPO Pad Mini Matte Display Edition kini dibuka sehingga 29 Oktober 2026 melalui laman rasmi OPPO.
Setiap tempahan menerima rebat RM200, sarung pelindung percuma dan pen stilus OPPO Pencil 3 manakala jualan rasmi di kedai fizikal akan bermula pada 30 Oktober 2026. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

