Site icon TechNave BM

OPPO Reno6 Pro dapat pengiktirafan AS, pelancaran antarabangsa tidak lama lagi

Pada bulan lalu, OPPO telah melancarkan siri telefon pintar OPPO Reno6 di China yang terdiri daripada Reno6, Reno6 Pro dan Reno6 Pro+. Kini satu telefon dalam siri tersebut telah pun mendapat pengiktirafan Amerika Syarikat (AS), menandakan pelancarannya untuk pasaran antarabangsa yang semakin hampir.

OPPO Reno6 Pro 5G telah mendapat pengiktirafan Federal Communications Commission (FCC) AS dengan nombor model CPH2247. Spesifikasi yang tertera dalam FCC termasuklah perisian Color OS 11.3 berdasarkan Android 11, ketebalan 7.9mm, berat 188 gram, bateri 4,400mAh dan pengecasan pantas 65W.

Masih tidak pasti jika Reno6 dan Reno6 Pro+ akan dilancarkan untuk pasaran antarabangsa bersama Reno6 Pro. Sewaktu pelancarannya di China, telefon ini dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 1200 5G, skrin AMOLED 6.55 inci 90Hz, kamera 64MP+8MP+2MP+2MP dan kamera swafoto 32MP.

Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Kali terakhir telefon OPPO Reno dilancar untuk pasaran Malaysia adalah OPPO Reno5 F pada bulan April.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri OPPO Reno6 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version