OPPO hari ini secara rasmi melancarkan jam tangan pintar terbaharunya, OPPO Watch X2, yang merupakan pengganti kepada model OPPO Watch X yang diperkenalkan tahun lalu. OPPO Watch X2 hadir dengan peningkatan prestasi, hayat bateri lebih lama dan pelbagai ciri tambahan yang menarik. Jam ini menampilkan perubahan ketara berbanding pendahulunya.
OPPO Watch X2 kini lebih menyerupai jam analog klasik dengan bezel yang diperbuat daripada aloi titanium premium. Dengan gabungan badan keluli tahan karat dan kaca kristal nilam (Sapphire crystal glass), OPPO Watch X2 bukan sahaja tampil elegan, malah ringan dan tahan lama.
OPPO Watch X2 dilengkapi dengan skrin LTPO OLED bersaiz 1.5 inci yang menawarkan kecerahan maksimum sehingga 2200 nits. Paparannya turut menyokong kadar segar semula yang boleh turun serendah 1Hz apabila tidak digunakan secara aktif sekali gus membantu menjimatkan tenaga.
Bateri Silicon-Carbon baharu yang digunakan menawarkan kapasiti 20% lebih tinggi berbanding model sebelumnya tanpa menambah saiz fizikal. Oleh itu, jam tangan pintar ini mampu bertahan sehingga 18 hari dalam mod penjimatan kuasa atau 5 hari dalam mod pintar. Ia juga dilengkapi dengan sistem dwi-cip yang terdiri daripada cip Snapdragon W5 dan BES2800BP MCU.
Cip BES2800BP ini dikatakan menawarkan peningkatan prestasi CPU sebanyak 100% dan NPU sebanyak 300% berbanding model terdahulu. OPPO Watch X2 juga hadir dengan pelbagai ciri menarik untuk pengguna yang mementingkan kesihatan seperti ciri 60S Health Check-In, GPS dwi-frekuensi serta 100 mod senaman.
Walaupun OPPO Watch X2 hanya akan mula dijual di Malaysia selepas 28 Februari 2025, OPPO telah mengesahkan harga rasmi untuk pasaran tempatan. Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Lava Black pada harga RM1,399 dan Summit Blue pada harga RM1,499. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi OPPO Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OPPO Watch X2 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

