Site icon TechNave BM

OPPO Watch X2 Mini: Salutan emas 18K, skrin 1.32″, 100 mod senaman berharga RM999

Selain siri telefon pintar OPPO Reno14 Series, OPPO Malaysia turut melancarkan jam tangan pintar baharu iaitu OPPO Watch X2 Mini. Ia menampilkan segala fungsi kesihatan dan penjejakan sukan yang dijangka dalam jam tangan pintar, namun dengan reka bentuk yang anggun.

Jam tangan ini dibuat daripada besi tahan karat yang mempunyai permukaan yang disalut emas 18K rose gold, membuatkannya nampak seperti jam tangan mewah. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Glimmer Gold dan hitam Nebula Black. Muka jamnya berbentuk bulat dan boleh diubah mengikut citarasa anda.

Jam ini mempunyai rating kalis air IP68 dan 5ATM bagi memudahkan anda memakai jam ini sewaktu membuat sukan air.

Untuk penjejakan sukan, ia mempunyai 100 mod senaman dan 11 penjejakan sukan secara mendalam seperti larian. Sewaktu bersenam, ia juga boleh mengesan jenis senaman secara automatik tanpa sebarang input manual.

Jam ini menawarkan penjejakan kesihatan sepanjang masa yang mencatatkan kadar degupan jantung, tahap oksigen dalam darah dan rekod tidur. Ia turut mempunyai sensor yang boleh kesan jika anda terjatuh.

Selain itu, ia mempunyai fungsi kesihatan mental yang boleh menilai tahap kepenatan dan keadaan emosi. Apabila perlu, ia akan menyediakan panduan aktiviti untuk melegakan stres dan latihan pernafasan sewaktu stres tinggi.

Baterinya pula boleh bertahan sehingga 60 jam dalam Smart Mode, atau sehingga tujuh jam dengan Power Saver Mode. Sewaktu mengecas, ia dilengkapi Watch VOOC Flash Charging yang boleh mengecas penuh dalam masa 10 minit sahaja.

Ia menggunakan sistem operasi Wear OS by Google. Apabila dipautkan dengan telefon, antara fungsi yang ditawarkan termasuklah alat kawalan jauh untuk kamera, kawalan video, melihat notifikasi, bayar menggunakan Google Wallet dan dapatkan arahan melalui Google Maps.

OPPO Watch X2 Mini akan dijual pada harga RM999 untuk warna Nebula Black dan RM1,099 untuk warna Glimmer Gold. Pra-tempahan akan berlangsung bermula hari ini sehingga 11 Julai 2025. Jika anda sudah membeli mana-mana telefon dalam OPPO Reno14 Series, anda layak dapatkan promosi pembelian-dengan-pembelian (PWP) di mana anda boleh dapatkan rebat RM50 sewaktu membeli OPPO Watch X2 Mini.

Layari laman web OPPO Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai jam ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan jam ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version