Site icon TechNave BM

OPPO X 2021 diumum: Telefon unik dengan mekanisme skrin gulung yang boleh dibuka seluas 7.4 inci

OPPO telah mengumumkan beberapa produk baru hari ini dalam acara OPPO INNO DAY 2020, di mana produk yang paling menonjol adalah OPPO X 2021 iaitu sebuah telefon unik dengan skrin yang boleh digulung. Telefon tersebut mempunyai skrin OLED berukuran 6.7 dalam mod asal, namun boleh dikembangkan kepada 7.4 inci.

Sewaktu berada dalam mod asal, sebahagian daripada skrin OPPO X 2021 akan digulung ke dalam badan telefon, dan ia boleh dibuka apabila pengguna ingin menggunakan skrin dengan lebih besar. Badan telefon itu dibahagi kepada dua, dengan sepasang rangka khas yang boleh bergelongsor untuk memudahkan pembukaan skrin.

OPPO X 2021 dilengkapi motor Roll Motor Powertrain untuk menggulung dan membuka skrin. Di samping itu, skrinnya akan mempunyai lapisan Warp Track bagi melindungi skrin sewaktu ia digulung. OPPO mengatakan mereka telah menyelesaikan masalah kesan lipatan yang sering terdapat pada telefon lain dengan skrin yang boleh dibengkokkan.

OPPO menunjukkan bahawa skrin telefon tersebut boleh memaparkan dalam pelbagai nisbah aspek untuk kegunaan gaming, menonton filem, membaca e-buku atau membuka dua aplikasi serentak. Setakat ini, OPPO tidak menyatakan tarikh pelancaran atau maklumat penjualan untuk OPPO X 2021.

Kongsi pendapat anda tentang rupa dan mekanisme peranti unik ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version