Site icon TechNave BM

Pandangan awal LG PuriCare – “Air purifier” ringan yang boleh dipakai di muka

Dengan penularan wabak COVID-19 yang masih tiada penghujung, kita terpaksa meneruskan amalan memakai pelitup muka apabila kita berada di tempat-tempat awam. Bagi memudahkan pengguna untuk menghirup udara bersih serta mengelakkan daripada memakai pelitup muka baharu setiap hari, LG telah melancarkan LG PuriCare Wearable Air Purifier iaitu sebuah pelitup muka dengan pembersih udara (air purifier) ringan. LG Malaysia telah meminjamkan sebuah unit kepada kami untuk mengujinya dan berikut adalah pandangan awal kami tentangnya.

Dengan berat 94 gram, pelitup muka unik ini mempunyai sepasang tali yang boleh dilaras serta pengikat (extender) silikon untuk disesuaikan kepada pelbagai saiz kepala serta memudahkan pemakaian untuk para wanita bertudung. Produk ini dilengkapi sepasang kipas Dual Inverter (satu di kiri dan satu di kanan) yang menyedut udara melalui penapis H13 HEPA dan boleh bertahan selama sebulan sebelum ia perlu ditukar.

Adakah anda sanggup untuk memakai aksesori ini ke tempat kerja setiap hari?
Pelitup muka boleh guna semula ini mempunyai berat 94 gram
Di bahagian dalam, ia turut dipasangkan bersama kertas penapis (kiri) dan pelindung muka silikon (kanan)

Di bahagian belakang pelitup muka ini, terdapat juga sebuah pelindung muka silikon yang dilekatkan secara magnetik kepada satu lapisan kertas penapis (yang boleh bertahan selama sehari), di mana pelindung tersebut bertujuan untuk membantu pengguna bercakap dengan selesa dan tidak mengganggu gerakan mulut.

Produk ini turut disertakan bersama pengecas dan baterinya dikatakan boleh berfungsi selama lapan jam daripada pengecasan penuh. Sebuah port USB-C berada di bahagian kanan bersama butang suis.

Satu lagi ciri unik tentang PuriCare adalah pembesar suara (voice amplifier) VoiceON yang membantu untuk menguatkan suara pengguna sewaktu mereka bercakap. Sewaktu artikel ini diterbitkan, penulis masih belum mencuba fungsi tersebut dan ia akan dihuraikan dalam ulasan penuh kelak.

Salah satu kipas Dual Inverter di dalam PuriCare
Sebuah pengecas turut disertakan bersamanya

Di samping itu, harga pelitup muka ini untuk pasaran Malaysia juga masih belum diumumkan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan LG PuriCare dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Diterjemahkan daripada TechNave

Exit mobile version