Site icon TechNave BM

Pandangan: Berbaloikah beli komputer riba Chromebook sekitar RM400? Adakah tahan lama?

Kita semua terperangkap di rumah dengan pelaksanaan PKP, dan dengan jumlah kes terkini, kelihatannya PKP masih kekal diteruskan. Untuk warganet yang masih boleh bekerja dari rumah, syukur. Namun untuk pelajar dan tenaga pengajar, pembelajaran dalam talian adalah pengalaman baru. Adalah lebih baik untuk pelajar mempunyai komputer riba sendiri, tablet atau telefon untuk pembelajaran dalam talian kerana kami juga menggunakan komputer riba dan telefon sendiri untuk bekerja.

Saya telah mendapat cadangan di media sosial, kenapa tidak beli komputer riba Chromebook dengan harga sekitar RM300-RM400? Komputer riba Chromebook dioperasikan oleh ChromebookOS, sering mendapat kemas kini dari Google dan mempunyai ketahanan bateri yang agak baik. Jadi, ada apa dengan peranti ini? Hari ini, kami akan menjawab soalan tersebut “Berbaloikah anda beli komputer riba Chromebook sekitar RM400?”. Jika anda sudah membelinya, kami juga sertakan bersama panduan untuk memastikan pelaburan anda beroperasi dengan baik.

Ada apa dengan peranti Chromebook? Ia mungkin BUKAN produk baru

Anda boleh temui banyak komputer riba Chromebook pada harga sekitar RM300 hingga RM400

Ya, anda boleh menemui komputer riba Chromebook dari Dell, HP, Samsung dan Acer di pasaran Malaysia pada harga sekitar RM300 hingga RM400. Beberapa penjual juga dilihat mempunyai reputasi yang baik. Apa pun, kebanyakannya bukan produk baharu (untuk pengetahuan anda, ia turut dinyatakan oleh sumber ini).

Kebanyakan komputer riba ini adalah terpakai atau diperbaharui (refurbished), dalam erti kata lain dibaiki semula dan ditukar ganti dengan perkakas baharu. Sebenarnya, jika penjual menyatakan ia adalah baharu, ia adalah amaran pertama untuk kita berwaspada kerana berkemungkinan penjual tersebut menipu, kecuali penjual sememangnya menemui stok Chromebook yang masih belum digunakan dalam keadaan yang sempurna.

Jika anda sudah menyemak ulasan pembeli dan penjual mempunyai reputasi baik, contohnya; sanggup menukar ganti komputer riba yang rosak atau memberi jaminan selama 1 hingga 2 minggu, anda boleh membeli komputer riba Chromebook dengan harga RM300 hingga RM400 (ini tips dan panduan pembelian dalam talian secara selamat). Lebih baik ada daripada tidak ada langsung. Setelah membelinya, anda boleh terus membaca penulisan di bawah.

Amalan dan panduan untuk komputer riba Chromebook yang telah digunakan

#1 Jangan berharap, rendahkan jangkaan anda

Kami tidak mempromosikan penjual ini, tapi anda boleh ambil perhatian terhadap spesifikasi Chromebook yang rendah

Ya, komputer riba Chromebook sememangnya tahan lama dan sering mendapat kemas kini. Namun, kebanyakan komputer riba Chromebook dioperasikan oleh Intel Celeron lama atau pemproses mampu milik lain. Ia biasanya lebih perlahan, memiliki respon yang lebih lama atau mengalami kelewatan. Jadi, jangan jangka komputer riba Chromebook mampu menangani 5 tab dalam pelayar Chrome OS atau menangani lebih dari 3 aplikasi yang berjalan dalam masa yang sama.

Beberapa perkara lain yang anda boleh lakukan untuk membantu komputer riba Chromebook yang perlahan adalah mengurangkan kualiti video di YouTube kepada di bawah HD seperti 480p, 360p atau lebih rendah. Kebanyakan penggunaan anda semestinya video pembelajaran, jadi anda tidak perlu kualiti HD. Tambahan pula, amaun data Internet dapat dikurangkan. Anda juga boleh mengurangkan tahap kecerahan di skrin, jadi penjimatan bateri dapat dilakukan.

#2 Jangan paksakan, guna untuk keperluan sahaja

Ya, anda boleh main Candu Crush dan game lain di komputer riba Chromebook terpakai anda

Berlawanan dengan kepercayaan popular, anda boleh bermain game pada peranti Chromebook, tetapi aplikasi yang lancar hanya game yang tidak memerlukan keperluan grafik tinggi seperti Candy Crush atau Bejeweled. Namun, memandangkan ini adalah komputer riba Chromebook yang terpakai, beberapa perkakas tidak boleh menerima tekanan seperti komputer riba baharu. Jadi, usah gunakannya dalam jangka masa terlalu lama, kami sarankan untuk guna hanya 3 hingga 6 jam bagi tugasan kerja sekolah dalam sehari.

Penggunaan komputer riba Chromebook dalam jangka masa lama boleh menyebabkan ia cepat rosak. Jika anda dan anak anda bermain game sepanjang malam kerana ketahanan baterinya yang lama, anda tidak akan perasan tentang perkakas yang mengalami pemanasan melampau dan boleh rosak dengan cepat. Jadi, jika anda melakukan perkara ini, anda boleh merosakkan peranti dalam hanya beberapa hari atau beberapa bulan, bergantung kepada keadaan perkakas sama ada terpakai atau sudah diperbaharui.

Tetapkan kawalan ibu bapa supaya tiada “kesilapan secara tidak sengaja”

Kami menyarankan anda untuk memuat turun Google Family Link dan menetapkan kawalan ibu bapa ChromeOS. Anda boleh mengawal masa penggunaan komputer riba Chromebook oleh anak anda. Kami juga sarankan ahar anda meletakkan kata kunci dan kawalan ibu bapa untuk muat turun di Play Store, jadi anak-anak tidak akan dapat menggunakan RM10,000 secara tidak sengaja untuk game Candy Crush (pernah berlaku dalam keluarga-keluarga lain) tanpa ibu bapa sedar.

#3 Dapatkan data atau Internet yang lebih baik

Komputer riba Chromebook dioperasikan oleh ChromeOS dan walaupun anda boleh melakukan tugasan secara luar talian, namun kebanyakan fungsi ChromeOS tersedia secara dalam talian dengan sambungan Internet. Beberapa aplikasi mungkin tidak berfungsi tanpa mana-mana awan (cloud) atau sambungan Internet. Sebagai tambahan, kebanyakan tugasan pembelajaran di Malaysia memerlukan anak anda untuk menonton video yang mana pastinya akan menggunakan lebih data. Bersedialah dan ambil pakej data yang menawarkan lebih kelajuan.

Banyak perkara yang anda boleh lakukan dengan Chromebook, saya melakar gunung ini menggunakan Acer Chromebook Tab 10 kepunyaan saya

Apabila anda sudah mula menerokai komputer riba Chromebook yang terpakai, anda akan dapati bahawa ianya sebenarnya boleh digunakan untuk pelbagai perkara. Dengan Acer Chromebook Tab 10 milik saya sendiri, saya mampu menggunakannya sebagai komputer riba mini yang berupaya mengedit foto, melakar, pemprosesan perkataan atau menonton video.

Terdapat komuniti pengguna Chromebook yang semakin berkembang di Malaysia, jadi anda tidak berseorangan jika anda ingin membeli peranti Chromebook sama ada untuk anak atau diri sendiri. Semak produk berdasarkan apa yang dicadangkan oleh mana-mana platform pembelian atau baca tips yang kami telah beri untuk pembelian yang selamat. Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version