Pihak berkuasa untuk keselamatan siber di United Kingdom, National Cyber Security Centre (NCSC), ingin menasihati netizen agar mereka membina semua kata laluan (password) dengan gabungan tiga perkataan bagi mencipta kata laluan yang kukuh dan pada masa yang sama, mudah diingati.
NCSC berkata kata laluan yang dibina dengan tiga perkataan rambang adalah lebih kukuh daripada kata laluan yang dibina dengan trend yang sudah lama diamalkan, seperti menggantikan huruf “O” atau “S” dengan nombor “0” atau “5” dalam sebuah perkataan. Selain itu, gabungan tiga perkataan juga boleh memanjangkan kata laluan untuk keselamatan yang lebih tinggi.
Netizen juga boleh membuat kepelbagaian daripada tiga perkataan tersebut untuk setiap laman web yang berlainan, agar ia mudah diingati dan masih boleh mengekalkan kesukarannya daripada diteka oleh penggodam.
Walaupun NCSC mengakui bahawa kata laluan yang digabung daripada tiga perkataan adalah tidak kukuh seperti kata laluan rambang yang dijana oleh pengurus kata laluan (password managers), penggabungan tiga perkataan rambang adalah lebih realistik dan mudah difahami oleh orang ramai. NCSC juga mengatakan bilangan netizen yang menggunakan pengurus kata laluan juga masih sangat rendah.
Di samping itu, NCSC ingin meningkatkan kepelbagaian kata laluan (password diversity) agar tidak banyak kata laluan boleh diteka dengan sistem algoritma oleh penggodam. Mereka bakal menasihati netizen untuk mengamalkan strategi baru dalam menyusun kata laluan mereka, termasuk gabungan tiga perkataan, untuk mempelbagaikan kata laluan dalam internet.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

