Site icon TechNave BM

Pasukan Atlantis 2.0, Todak bakal wakili Malaysia dalam Acer APAC Predator League 2026 di India

Sewaktu pertandingan e-sukan Predator League 2026 Malaysia Finals yang berlangsung di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Selangor pada hari minggu lalu, dua pasukan berjaya muncul juara iaitu Atlantis 2.0 dan Todak.

Atlantis 2.0 berjaya menewaskan pasukan Sentry Symphony Esport dalam pusingan akhir untuk game Dota 2 dengan markah akhir 3-0. Untuk game VALORANT pula, Todak berjaya menewaskan pasukan pasukan Ender Dragon dalam pusingan akhir selepas saingan yang amat sengit.

Sebagai hadiah, kedua-dua pasukan pemenang akan menerima hadiah bernilai RM15,000, terdiri daripada wang tunai RM10,000 dan kelengkapan Acer Predator bernilai RM5,000.

Pasukan Atlantis 2.0 yang memenangi Dota 2
Pasukan Todak yang memenangi VALORANT

Dua pasukan ini juga bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan e-sukan antarabangsa APAC Predator League 2026 di India pada Januari 2026. Atlantis 2.0 akan mewakili negara dalam game Dota 2 manakala Todak akan mewakili negara dalam game VALORANT.

Mereka akan turut disertai oleh pasukan MAG yang berjaya memenangi APAC Predator League 2025, lantas melayakkan mereka ke dalam APAC Predator League 2026.

Semua pasukan ini akan mewakili Malaysia dalam pertandingan di India yang bakal menyaksikan 13 pasukan antarabangsa merentap untuk memenangi Predator Shield dan menerima hadiah bernilai USD400,000.

Tahniah kepada semua pasukan yang berjaya memenangi pertandingan ini. Kongsikan ucapan tahniah anda dalam Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version