Site icon TechNave BM

PBSM lancarkan MySukarela, aplikasi pertama di Malaysia khas untuk kerja-kerja sukarelawan

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) pada hari ini telah melancarkan MySukarela, aplikasi pertama di Malaysia yang dikhaskan untuk kerja-kerja sukarelawan di seluruh negara. Aplikasi ini akan menghubungkan para sukarelawan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan kebajikan yang memerlukan bantuan mereka.

MySukarela telah dibina susulan daripada kejayaan program MyVAC pada bulan Mac lalu, di mana PBSM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mengumpulkan 320,000 orang sukarelawan bagi menggalakkan kempen pemvaksinan di seluruh negara.

Untuk para sukarelawan, mereka boleh mendaftarkan diri dalam aplikasi MySukarela serta mendapatkan maklumat tentang sebarang aktiviti kebajikan yang memerlukan sumbangan tenaga mereka. Aktiviti tersebut boleh dicari melalui lokasi, tarikh dan keberadaan (availability).

Untuk para penganjur aktiviti pula, mereka boleh mengiklankan aktiviti yang memerlukan sukarelawan dalam MySukarela dan berhubung dengan para sukarelawan yang berminat untuk menyertai. Penganjur juga boleh menyenaraikan kemahiran yang diperlukan, menyediakan latihan asas dan banyak lagi.

Para pengguna MySukarela juga boleh menghulurkan derma kepada NGO yang layak.

PBSM akan bekerjasama dengan Yayasan Malaysian Humanitarian Coordination & Action Hub (Yayasan MATCH) serta AirAsia Academy bagi menarik lebih ramai sukarelawan untuk berdaftar di MySukarela serta menyediakan latihan sebelum menghadiri sebarang aktiviti kebajikan.

MySukarela kini boleh dimuat turun dalam Apple App Store dan Google Play Store. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version