Site icon TechNave BM

PDRM tahan seorang suspek yang terlibat dalam “scam” PlayStation 5 tempatan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan melibatkan jual beli konsol gaming PlayStation 5 (PS5) dan telah memperdaya lebih 200 mangsa.

Menurut wakil PDRM, suspek merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun dan berjaya ditangkap di Pulau Pinang. Dia akan direman selama dua hari bagi menjalankan siasatan lanjut bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Suspek itu telah menipu lebih 200 peminat tegar PS5 yang ingin membeli konsol popular tersebut. Dia berjaya menarik ramai pembeli dengan menggunakan nama beberapa individu yang popular di Instagram dan atlet sukan, kononnya mereka telah menerima konsol tersebut dengan singkat apabila ia dibeli daripada suspek.

Suspek menjual PS5 dengan harga RM500 lebih mahal daripada harga pasaran, namun pembeli dikatakan boleh memperoleh konsol itu dengan lebih cepat.

Pelbagai kumpulan gaming di Facebook telah berkongsi maklumat tentang scam PS5 ini dan beberapa mangsa juga telah berkongsi pengalaman mereka. Mereka mendakwa suspek berjaya memperoleh lebih RM800,000 daripada scam PS5 ini.

Kami menasihati para pembaca untuk hanya mendapatkan konsol PS5 daripada pengedar sah dan bukannya daripada penjual yang diragui dalam internet. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Kosmo

Exit mobile version