Site icon TechNave BM

Pegawai kerajaan India sanggup keringkan empangan untuk selamatkan Samsung Galaxy S23 Ultra miliknya

Seorang pegawai kerajaan dari India telah menerima kecaman daripada rakyat negara itu selepas beliau menyalah gunakan jawatannya untuk menyelamatkan telefon yang terjatuh ke dalam empangan air.

Rajesh Vishwas, seorang pegawai pemakanan yang bertugas ni negeri Chhattisgarh, telah mengarahkan pihak pengurusan empangan Paralkot untuk melepaskan takungan air dalam empangan tersebut selepas telefonnya terjatuh ke dalam takungan air. Telefon itu adalah Samsung Galaxy S23 Ultra, iaitu telefon termahal oleh Samsung setakat ini selain daripada telefon lipat.

Telefon itu terjatuh pada 21 Mei 2023, sewaktu beliau sedang mengambil swafoto berhampiran kawasan takungan air sedalam 10 kaki itu. Beberapa orang tempatan cuba menyelam untuk mencari telefon tersebut, namun mereka gagal berbuat demikian.

Vishwas kemudian menghubungi jabatan perairan tempatan dan beliau mendapat kebenaran untuk melepaskan takungan air bagi memudahkan pencarian telefonnya. Jumlah air yang dilepaskan dianggar berjumlah dua juta liter.

Selepas air dalam empangan itu dilepaskan, telefon Vishwas berjaya dijumpa namun ia telah pun rosak sepenuhnya.

Susulan daripada tindakan ini, beliau mendapat kecaman daripada rakyat tempatan kemudian telah digantung daripada melaksanakan jawatannya. Vishwas berkata beliau terpaksa bertindak sedemikian kerana telefon itu mengandungi data kerajaan yang sensitif, namun alasan ini tidak diterima oleh agensi majikannya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BBC

Exit mobile version