Site icon TechNave BM

Pejabat Twitter ditutup selepas ratusan pekerjanya letak jawatan dan menentang Elon Musk

Ratusan pekerja di ibu pejabat Twitter telah meletak jawatan bagi memprotes tindakan Elon Musk yang memerlukan waktu kerja lama bagi memperbaharui perkhidmatan media sosial itu. Susulan daripda itu, pejabat Twitter terpaksa ditutup buat sementara.

Sebelum ini, Musk telah menghantar e-mel yang mengandungi sebuah dokumen Google Form kepada setiap pekerja Twitter, di mana mereka perlu membalas dengan perkataan “ya” jika mereka ingin terus bekerja di Twitter dan menubuhkan “Twitter 2.0”. Para pekerja ini perlu membalasnya sebelum hari Khamis jam 5:00 petang ET (6:00 pagi waktu Malaysia).

Untuk membina Twitter 2.0 ini, Musk mengatakan para pekerjanya perlu bekerja keras dengan waktu bekerja yang lebih lama. Hanya prestasi pekerjaan yang cemerlang akan dikira sebagai “gred yang lulus.”

Kenyataan yang diedarkan kepada pekerja Twitter

Sebaik sahaja tempoh itu tamat, ratusan pekerja mengatakan mereka tidak mahu lagi bekerja di bawah Musk dan mula meninggalkan mesej perpisahan kepada beliau. Memandangkan jumlah pekerja yang meletakkan jawatan ini agak besar, mereka menjangkakan Twitter akan berhenti beroperasi dalam masa terdekat.

Sebelum hari Khamis ini, Twitter mempunyai 2,900 pekerja dan jumlah itu sendiri telah diturunkan berbanding 7,500 pekerja sebelum Musk mengambil alih syarikat tersebut.

Kini, jumlah pekerja yang kekal di Twitter masih belum dikenal pasti, namun menurut para pekerja yang telah meletakkan jawatan, ketiadaan sejumlah besar individu penting dalam syarikat itu akan menyebabkan masalah besar untuk operasi Twitter.

Sungguh pun begitu, Musk nampak seperti tidak risau dengan perkembangan ini. Dalam satu ciapan, beliau berkata para pekerja yang terbaik masih kekal di Twitter, jadi beliau tidak bimbang.

Dalam pada itu, jutaan pengguna Twitter meramalkan media sosial itu akan dihentikan dalam masa terdekat. Tanda palang seperti #RIPTwitter, #TwitterDown, #Mastodon dan #Myspace mula menjadi popular, manakala individu popular seperti ahli politik mula berkongsi media sosial lain dalam ciapan mereka.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Guardian

Exit mobile version