Site icon TechNave BM

Pelan prabayar Uni5G kini rendahkan had data berkelajuan tinggi kepada 60GB

Sejak Disember 2022, Telekom Malaysia (TM) telah mengenakan polisi penggunaan adil (fair use policy, FUP) terhadap pelan prabayar Uni5G Prepaid yang menawarkan internet tanpa had. Ini bermaksud para pelanggan akan dikenakan had data berkelajuan tinggi sebanyak 100GB sahaja sebulan dan data selanjutnya akan mengalami kelajuan yang lebih perlahan.

Kini had data di bawah polisi FUP itu direndahkan lagi daripada 100GB kepada 60GB sebulan. Menurut laman FAQ yang dikemas kini, had data untuk hotspot wayarles juga direndahkan daripada 10GB kepada 5GB. Sementara itu, pelan harian dan mingguan masih kekal pada had 10GB dan 20GB.

Jika anda melepasi had data ini, anda masih boleh menggunakan internet namun kelajuan anda akan direndahkan kepada 512Kbps sahaja daripada 5Mbps dalam data berkelajuan tinggi.

Sungguh pun demikian, harga bulanan untuk pelan data tanpa had masih kekal pada RM35, jadi maksudnya para pelanggan memperolehi nilai keseluruhan yang lebih rendah (daripada RM0.35 untuk 1GB kepada RM0.58 untuk 1GB). Ini mungkin akan menghampakan beberapa pengguna Uni5G kerana data berkelajuan tinggi telah direndahkan walaupun dengan harga yang sama.

Akan tetapi jika ia dibandingkan dengan pakej prabayar lain, RM35 sebulan untuk data berkelajuan tinggi 60GB adalah pakej yang masih dianggap mampu milik.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version