Site icon TechNave BM

Pelancaran set kepala VR Apple ditunda, mungkin dilancarkan pada separuh kedua 2023

Pelancaran set kepala AR/VR dari jenama Apple dikhabarkan mungkin ditangguhkan sehingga separuh kedua 2023 disebabkan oleh isu perisian. Seperti biasa, maklumat terkini dikongsi oleh penganalisis teknologi terkenal, Ming-Chi Kuo.

Kuo percaya bahawa penghantaran besar-besaran set kepala yang lengkap mungkin tidak akan mula dikeluarkan sehingga separuh kedua tahun ini. Walaupun Apple telah mengumumkannya pada awal tahun 2022, namun disebabkan masalah tertentu, ia terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.

Berkemungkinan juga ia akan dilancarkan secara rasmi dalam acara WWDC (Worldwide Developers Conference) 2023 pada bulan Jun bersama SDK (software development kit) untuk pembangun membuat aplikasi AR/VR bagi peranti tersebut.

Sebelum ini, Kuo berkata bahawa Apple merancang untuk mendedahkan set kepala pada acara media Januari dan memulakan penghantaran besar-besaran pada suku kedua 2023. Namun, beliau tidak pasti mengenai penangguhan penghantaran itu akan menyebabkan pengumuman Januari ditangguh ataupun tidak.

Sudah pasti apabila menyebut jenama Apple, ia pasti membawa harga yang mahal. Kuo meramalkan bahawa syarikat itu akan menghantar kurang daripada 500,000 set kepala pada tahun 2023.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: Macrumors

Exit mobile version