Site icon TechNave BM

Pelanggan di Brazil berjaya saman Apple kerana tidak sertakan pengecas untuk iPhone 12

Selepas Apple disaman oleh pertubuhan hak pengguna Brazil Procon-SP, kini syarikat teknologi itu didenda sekali lagi kerana tidak menyertakan pengecas bersama telefon pintar iPhone 12. Seorang pengguna bernama Mariana Morales Oliveira dari Sao Paulo, Brazil telah memfailkan saman terhadap Apple kerana berpendapat beliau berhak memperoleh sebuah pengecas bersama iPhone 12.

Mahkamah Sao Paulo telah mengeluarkan keputusan memihak kepada Mariana dan mengarahkan Apple untuk menghantar sebuah pengecas kepada beliau dalam masa sepuluh hari daripada 23 Mei. Jika Apple gagal berbuat demikian, Apple perlu membayar denda di antara BRL200 (~RM160) sehingga BRL5,000 (~RM3,960).

Peguam Mariana, Rafael Quaresma, berkata Apple mengamalkan amalan jualan tergantung (tied sale) di mana para pelanggan terpaksa membelanjakan lebih banyak wang bagi membeli sebuah pengecas untuk iPhone 12, iaitu sebuah aksesori yang penting buat kegunaan telefon itu.

Beliau juga mengatakan hujah Apple untuk melindungi alam sekitar sebenarnya tidak kukuh, kerana mereka tetap mengilangkan pengecas iPhone 12 walaupun ia tidak disertakan dalam kotak telefon itu. Sungguh pun begitu, Apple tetap menjual pengecas itu sebagai produk yang berasingan.

Pada bulan Mac, Apple telah pun disaman oleh sebuah organisasi perlindungan pengguna Procon-SP atas sebab yang sama dan Apple diarahkan untuk membayar BRL10.5 juta (~RM8.3 juta) sebagai ganti rugi. Kes saman oleh Mariana ini merupakan kali pertama Apple Brazil disaman secara individu kerana ketiadaan pengecas.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version