Site icon TechNave BM

Pelayar web Internet Explorer tidak akan disertakan bersama Windows 11

Sistem operasi Windows 11 telah pun diperkenalkan pada Jumaat lalu di mana ia bakal membawa pelbagai fungsi baharu termasuklah antara muka (UI) yang direka semula dan kebolehan untuk menggunakan aplikasi Android. Sungguh pun begitu, terdapat satu perisian Microsoft yang tidak akan disertakan bersama sistem operasi tersebut iaitu Internet Explorer (IE).

Dalam sebuah kenyataan kepada The Verge, pelayar web Internet Explorer 11 tidak akan diberikan dalam Windows 11 dan sebaliknya akan digantikan dengan Microsoft Edge sebagai pelayar web asal (default web browser). Windows 11 hanya akan mengekalkan enjin IE iaitu MSHTML bagi membenarkan Microsoft Edge untuk menjalani IE Mode.

Windows 11 bakal menjadi sistem operasi Microsoft pertama yang tidak dipasarkan dengan pelayar web IE sejak 24 tahun lalu. Microsoft memperkenalkan IE dalam Windows 95 OEM Service Release 2.5 pada 1997 bagi meningkatkan jumlah pengguna pelayar web itu.

Sejak awal 2010-an, IE sering dianggap sebagai pelayar web yang lebih perlahan berbanding pesaingnya seperti Google Chrome dan Mozilla Firefox. Walau bagaimanapun, pelayar Microsoft Edge baharu yang diperkenalkan pada awal 2020 telah mendapat pujian meluas kerana enjin Chromium yang membenarkannya untuk beroperasi pantas seperti pelayar web lain.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version