Site icon TechNave BM

Pembersih sungai di Malaysia, Interceptor 005 ditaja oleh kumpulan popular Coldplay

Beberapa hari yang lalu, pengasas dan CEO Ocean Cleanup telah memuat naik sebuah siaran yang mengacah kehadiran pembersih sungai generasi baharu, Interceptor 005 di Malaysia. Lebih menarik, Interceptor 005 ini yang hadir di Malaysia sebenarnya ditaja oleh kumpulan penyanyi popular Coldplay.

Terdahulu, pembersih sungai dan laut seperti ini sudah hadir di Malaysia buat pertama kali iaitu Interceptor 002 pada Ogos 2019. Ia telah ditempatkan di Sungai Klang untuk kerja-kerja pembersihan, mengelakkan sampah daripada mengalir ke laut. Interceptor 005 kini bakal siap dibina pada pertengahan 2021 dan akan terus melakukan kerja pembersihan di sungai di Malaysia.

Sejak tahun 2019, Ocean Cleanup telah mengumumkan Interceptor sebagai penyelesaian kepada masalah sampah yang membendung persekitaran sungai dan laut seluruh dunia termasuklah Indonesia, Thailand, Vietnam, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Teknologi ke arah dunia mesra alam ini dilihat semakin baik diadaptasi di Malaysia. Apa pun, adakah anda salah seorang peminat Coldplay? Adakah anda bangga kumpulan kegemaran anda menaja teknologi pembersihan di Malaysia? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version