Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) memperkenalkan sistem pemeriksaan kenderaan baharu yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI). Sistem yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat tempatan Keymag Sdn. Bhd. ini berfungsi mengautomasikan pengesanan komponen dan kerosakan kenderaan menggunakan analisis imej pintar.
Melalui integrasi teknologi, sistem dapat mengesan kecacatan seperti kakisan, kebocoran minyak, kerosakan sistem brek, kecacatan gandar dan kerosakan struktur dengan lebih konsisten. Bagi pemeriksaan bawah kenderaan, penggunaan AI memendekkan tempoh proses daripada 10 minit kepada kira-kira satu minit iaitu pengurangan hampir 90 peratus daripada masa asal.
Sistem ini turut menjana rekod pemeriksaan digital bagi tujuan ketelusan dan rujukan jika timbul sebarang pertikaian dapatan. Puspakom juga sedang bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk membangunkan ASTRA iaitu penyelesaian AI bagi pemeriksaan bahagian atas kenderaan.
Keupayaan mengesan kerosakan tayar berasaskan AI turut dirancang untuk pengenalan akan datang. Menurut Puspakom, kesemua inovasi berasaskan AI ini akan dilaksanakan secara berperingkat di fasiliti mereka dalam tempoh 24 bulan akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Utusan

