Pada bulan Mei lalu, Samsung telah mengeluarkan kemas kini One UI 2.1 untuk pengguna Galaxy A51 namun beberapa fungsi kamera telah dikecualikan daripada kemas kini tersebut. Pada hari ini, pengguna Galaxy A51 di Malaysia melaporkan bahawa kemas kini yang paling terkini dan diberi kod A515FXXU3BTF4 telah memperkenalkan fungsi-fungsi kamera yang tertinggal sebelum ini.
Tiga fungsi kamera yang terdapat dalam kemas kini ini adalah Single Take, My Filters dan Night Hyperlase. Fungsi Single Take yang mula diperkenalkan dalam Galaxy S20 sebelum ini akan membolehkan telefon untuk mengambil beberapa gambar dan video pendek yang mempunyai pelbagai efek sebaik sahaja butang shutter ditekan.
Night Hyperlapse pula bertujuan untuk mengambil gambar hyperlapse yang terang dan jelas dalam situasi malap, manakala My Filters adalah untuk mencipta efek unik yang dikehendaki daripada pelbagai gaya dan warna. Di samping fungsi kamera ini, kemas kini ini juga membawakan ciri keselamatan baru serta menjadikan peranti itu lebih stabil.
Sebelum ini, Galaxy A51 sudah pun disahkan sebagai telefon paling laris dalam dunia pada suku pertama 2020, jadi kemas kini terbaru ini pastinya akan dihargai oleh pemilik peranti tersebut. Beritahu kami di Facebook jika Galaxy A51 anda sudah menerima kemas kini ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Tizenhelp

