Site icon TechNave BM

Pempengaruh kewangan Malaysia kini perlukan lesen untuk buat kandungan internet

Kerajaan Malaysia kini sedang meningkatkan kawalan terhadap pempengaruh kewangan, kadang-kala dikenali sebagai finfluencers, yang kerap berkongsi panduan kewangan dalam media sosial tanpa memiliki lesen yang sah. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan garis panduan baharu yang kini mengkategorikan pempengaruh kewangan sebagai pengiklan sukarela dan perlu mematuhi undang-undang yang berkenaan.

Di bawah garis panduan yang berkuat kuasa sejak 1 November 2025, pempengaruh kewangan yang mengiklankan produk atau perkhidmatan modal pasaran (capital market products) seperti nasihat pelaburan dan perancangan kewangan perlu mempunyai lesen SC.

Jika mereka gagal melakukan sedemikian, mereka boleh didenda sebanyak RM10 juta, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Pihak berkuasa kini bimbang dengan peningkatan “guru” atas talian yang mungkin menyebarkan nasihat-nasihat bahaya dan mencurigakan. Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) sebelum ini memberi amaran bahawa para pempengaruh ini boleh menjejaskan kewangan orang ramai dengan ketara. Mereka menekankan bahawa pemberian nasihat kewangan datang dengan amanah yang berat.

Perlu diingati bahawa bukan semua kandungan kewangan internet akan disasarkan oleh SC. Garis panduan tersebut mengecualikan kandungan untuk pendidikan kewangan, selagi ia tidak menggalakkan pengguna untuk mengambil keputusan kewangan atau pelaburan. Selain itu, sebarang promosi perlu dinyatakan secara jelas bahawa ia adalah sebuah iklan.

Pempengaruh kewangan digalak untuk menggunakan Investment Checker oleh SC bagi memastikan syarikat-syarikat yang dibincangkan dalam kandungan mereka mempunyai lesen yang sah.

Mereka perlu patuh kepada infografik dan senarai semak yang disediakan oleh SC untuk memahami apa yang dibenarkan dan bagaimana mereka boleh elakkan risiko penyalahgunaan. Semua mesej-mesej promosi perlulah jelas, seimbang, tidak mencurigakan dan dijelaskan secara penuh.

Anuar Shuib daripada MFPC memberi amaran bahawa nasihat yang tidak berlesen boleh memusnahkan kekayaan, manakala Phang Kar Yew daripada MFPC juga mengatakan garis panduan ini bukanlah untuk menyekat kebebasan suara, sebaliknya untuk meningkatkan standard komunikasi kewangan yang sah dan bertanggungjawab.

Ini merupakan langkah yang serupa dengan kerajaan China di mana pempengaruh yang ingin membincangkan kandungan tentang kewangan, kesihatan dan perundangan perlu memiliki ijazah yang sepatutnya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Exit mobile version