Site icon TechNave BM

Pendaftaran PADU cecah lebih 10.8 juta orang pada hari terakhir

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahiadin, berkata seramai 10.8 juta orang telah mendaftarkan diri dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat jam 12:00 tengah hari pada hari ini, iaitu hari terakhir untuk membuat pendaftaran tersebut.

Jumlah itu bersamaan dengan 48.3 peratus daripada 21.96 juta warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dan layak mendaftarkan diri dalam PADU. Beliau juga optimis bahawa peratusan itu akan meningkat kepada 50 peratus pada jam 12:00 tengah malam ini, iaitu waktu pendaftaran PADU ditutup.

Buat masa ini, negeri-negeri tertinggi yang membuat pendaftaran PADU adalah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan di mana setiap negeri ini mencatatkan pendaftaran lebih 50 peratus. Kerajaan juga sudah membuka 1,902 kaunter pendaftaran fizikal bagi memudahkan pendaftaran dalam peringkat komuniti.

Beliau turut menjelaskan bahawa sejak PADU dilancar pada 2 Januari lalu, sistem berkenaan terus berfungsi tanpa sebarang gangguan (downtime) walaupun menghadapai aliran trafik pendaftaran yang tinggi. Semua data dalam PADU akan disimpan dengan selamat dan digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk membuat analisis dalam memudahkan saluran bantuan kerajaan.

Pendaftaran PADU akan dibuka sehingga 12:00 tengah malam ini. Baca artikel ini untuk maklumat lanjut mengenai PADU.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version